KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan meluluskan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini bagi menggantikan bonus.
Presidennya, Omar Osman, berkata melalui beberapa siri pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu, ia mendapat reaksi positif.
"Baru-baru ini saya sempat menyambut Perdana Menteri di lapangan terbang di Langkawi...apabila ditanya mengenai tuntutan itu beliau memberi reaksi yang meyakinkan.
Cuma kita minta, sekiranya perkara ini diluluskan kerajaan, ia dapat diberikan kepada penjawat awam sebelum musim persekolahan tahun depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Kerajaan mengumumkan bayaran imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dalam Kumpulan Sokongan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk tahun ini.