Penduduk marah rumah panjang dibakar dipercayai membelasah seorang pemuda
KAPIT: Mayat seorang pemuda ditemui polis dengan tangannya diikat di sebuah rumah panjang di Sungai Janan, Tekalit, Katibas dalam daerah Song pada tengah hari Selasa lepas.Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Isnin lalu di Rumah Kaya, Sungai Janan, Tekalit, sebuah cabang Sungai Katibas dalam daerah Song, kira-kira tiga jam perjalanan menaiki bot dari pekan Song.
Mangsa (nama tidak disebut oleh pihak polis), yang berusia 26 tahun dikatakan dengan sengaja membakar Rumah Kaya sepanjang 10 pintu (mangsa sendiri berasal dari rumah panjang yang sama) hingga memusnahkan keseluruhan rumah panjang dalam kejadian kira-kira jam 3 petang pada Isnin lalu.
Kerana marah dengan apa yang telah berlaku apabila semuanya musnah dalam kebakaran itu, penduduk rumah panjang terbabit dipercayai bertindak menahan mangsa dan mengikatnya, dan ada antara penduduk yang berang dipercayai telah membelasahnya dengan benda keras.
Ketua Polis Daerah Song DSP Zayadi Sebeli ketika dihubungi pagi semalam berkata, pihak polis menerima laporan mengenai insiden itu yang dilaporkan oleh tuai rumah panjang berkenaan pada hari berikutnya (17 November), jam 11 pagi.
“Bertindak berdasarkan laporan itu, sepasukan polis dikerahkan ke tempat kejadian dan tiba lewat tengah hari berkenaan. Pada mulanya pihak polis menyiasat kebakaran itu atas dakwaan khianat.
“Bagaimanapun, apabila pasukan polis tiba di tempat kejadian, kami mendapati mangsa yang sebelum itu ditahan oleh penduduk rumah panjang telah didapati mati.
“Siasatan awal mendedahkan bahawa mangsa mungkin telah mati dibunuh dan kini pihak polis sedang menyiasat kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Zayadi.
Mayat mangsa dibawa oleh pasukan polis yang diketuai ASP Badrul dengan sebuah bot laju dari Song pada pagi semalam dan tiba di dermaga Kapit kira-kira jam 9 pagi dan terus dibawa ke rumah mayat Hospital Kapit untuk dibedah siasat.
Zayadi memberitahu, polis sedang menyiasat kes tersebut dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.