TIADA topik lebih menarik perhatian bila membicarakan perihal sukan tanah air hari ini selain kejayaan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing untuk memastikan bendera Malaysia terus berkibar megah.
Chong Wei mara ke perlawanan akhir badminton selepas menundukkan lawan yang juga mempunyai semangat juang kental, Lee Hyun Il dari Korea Selatan.
Perlawanan sememangnya sengit dan mendebarkan. Tentu ramai yang seronok bila melihat aksi-aksi mantap Chong Wei ketika bermain di depan jaring yang banyak memerangkap Hyun Il khususnya pada set pertama.
Begitu pun Hyun Il ternyata lawan yang sukar dijinakkan. Selepas tewas tipis 18-21 pada set pertama, dia bangkit untuk menang set kedua dengan 21-13. Namun, semangat juang tinggi ditunjukkan Chong Wei berjaya menghalang Hyun Il daripada menggagalkan impiannya dan impian rakyat Malaysia untuk melihat beliau merangkul emas sulung Malaysia pada temasya Olimpik.
Sememangnya tidak dinafikan Chong Wei adalah atlet lelaki Malaysia paling konsisten dalam tempoh beberapa tahun ini. Calang-calang atlet untuk mengekalkan prestasi dalam tempoh yang panjang, apatah lagi bergelar pemain nombor dua dunia.
Diharapkan Chong Wei akan kekal fokus dan tidak lupa ucapan syabas buat jurulatihnya, Misbun Dato' Haji Sidek yang banyak membantu prestasi mantap Chong Wei.
Bak kata pengulas sukan RTM, Haji Hasbullah Awang ketika membuat ulasan perlawanan separuh akhir Lee Chong Wei-Lee Hyun Il semalam; "Misbun dan Chong Wei sememangnya dua nama yang tidak dapat dipisahkan".
Berita-berita berkaitan:
Badminton: Peluang terbaik Malaysia rangkul emas Olimpik
Chong Wei dedikasi kejayaan buat rakyat Malaysia
Chong Wei tamatkan kemarau pingat 12 tahun
Chong Wei mara ke perlawanan akhir