Bintang AF dari Sabah akui sudah kenal keperibadian masing-masing tapi tiada lahir bibit cinta
KALI pertama menonton klip video lagu Menggegar Dunia, duet bintang Akademi Fantasia (AF) - Adam dan Stacy yang disiarkan kali pertama pada 31 Oktober lalu menerusi Astro Ria, penulis teruja melihat gandingan mantap mereka ketika mendendangkan lagu ciptaan Edry KRU itu.
Mengamati liriknya pula, memang benar menggambarkan Adam dan Stacy, mereka pasangan yang tak kena, namun sebaik bergabung di pentas seni - menari dan menyanyi, kedua-duanya meletup apabila bersatu!
Sebelum ini memang tidak pernah timbul sebarang gosip yang mengaitkan Adam bercinta dengan Stacy. Peminat sedia maklum, Adam ketika ini dikatakan ‘berteman tapi mesra’ dengan Naib Johan Pertandingan Akhir Bintang RTM2009, Jo-Anna Sue Henley-Rampas atau Joan, 20, manakala Stacy yang dikhabarkan baru putus kasih dengan bintang AF6, Nubhan, kini dikatakan sedang menyemai benih cinta dengan Akim dari AF7.
Justeru, gandingan Adam dan Stacy, memang tidak kena apabila mereka dikatakan pasangan kekasih, namun apabila melihat keserasian dan kelincahan mereka ketika menyanyi serta menari lagu rancak, Menggegar Dunia yang juga lagu tema filem terbaru terbitan KRU Studios, My Spy, tidak keterlaluan apabila melabel gandingan itu bakal menggegar industri hiburan, buktinya lagu berkenaan kini menduduki carta selesa di beberapa stesen radio popular!
Klip video Menggegar Dunia yang diarahkan Abdulazeez W.R dilatari filem My Spy apabila filem ke-5 terbitan KRU Studios ini dijangka menjengah pawagam pada 3 Disember depan. Pun begitu, KRU Studios bijak mencuri peluang apabila populariti yang sedang diraih Adam dan Stacy di mata peminat, mereka gabungkan untuk menyuntik kelainan dalam filem terbaru mereka, sekali gus bakal menggamit peminat kedua-dua bintang realiti kelahiran Astro ini memenuhi pawagam.
Dalam ramai-ramai bintang kelahiran AF2, Adam boleh dianggap bertuah dan bernasib baik apabila dia masih ‘bernafas’ sehingga hari ini sejak lima tahun lalu menempa nama pada musim kedua program realiti paling berpengaruh itu.
Namun, sekitar 2007, Adam pernah dilatari titik hitam apabila hubungannya dengan pihak media massa terputus seketika gara-gara kerap menghilangkan diri setiap kali cuba dihubungi.
“Sekarang saya sudah berubah apabila menyedari kesilapan dan kecuaian yang pernah saya lakukan. Saya amat menyayangi bidang yang saya ceburi ini, justeru saya tidak mahu lagi mengulangi kegagalan masa lampau. Hubungan artis dan media massa ibarat isi dengan kuku, antara kami saling memerlukan satu sama lain. Selagi termampu, saya akan memberikan komitmen sebaik mungkin.
“Pun begitu, mimpi tidak akan menjadi kenyataan tanpa kerja keras yang berterusan. Ia diperkuatkan lagi dengan lagu-lagu ciptaan Edry KRU yang saya dendangkan diterima baik oleh peminat. Setiap kali saya muncul dengan album baru, saya akan menukar imej, tapi konsep dance music tetap dikekalkan dengan harapan peminat tidak mudah bosan, lebih-lebih lagi dengan kemunculan ramai artis baru kebelakangan ini,” kata Adam.
Selain popular sebagai penyanyi yang mampu membawakan pelbagai genre muzik terutama hip hop dan pop tradisional dance, Adam juga laris di kaca TV dan layar perak. Terbaru, dia baru selesai membintangi filem Dimensi Cinta. Ketika filem berkenaan masih menunggu giliran menjengah pawagam, difahamkan ramai pelakonnya termasuk Adam belum menerima bayaran akhir mereka.
Khabarnya ramai artis kecewa dengan pihak produksi gara-gara bayaran yang belum dilunaskan itu dan apabila diajukan kepada pihak produser, masing-masing cuba lepas tangan.
Kecewa belum terima bayaran
“Ramai artis baru yang berlakon di dalam filem berkenaan adalah muka baru yang bekerja di bawah produksi saya, Aico Entertainment Zone, justeru apabila saya sendiri belum menerima bayaran akhir, macam mana saya nak bayar gaji pekerja? Saya harap produksi berkenaan tidak terus menangguhkan perkara ini, beri penjelasan segera dan dalam masa sama, baki yang tertunggak itu, jangan terus dilengahkan,” rayu Adam.
Tidak lengkap perbualan dengan Adam jika tidak bertanyakan perihal ‘teman tapi mesranya’, Joan yang juga Ratu Tadau Kaamatan Sabah 2007/2008. Sehingga kini kedua-duanya lebih selesa mengakui mereka sekadar berkawan baik, sebaliknya istilah bercinta tidak pernah terbit dalam perasaan masing-masing, walhal gosip bertiup kencang, mencanang kedua-duanya dalam diam-diam menjalin cinta rahsia!
Apabila Adam terus diasak dengan pertanyaan adakah dia sudah bersedia memperkenalkan Joan sebagai kekasihnya, sekali lagi dia terus mengunci mulutnya seolah-olah ada rahsia di antara mereka. Terbaru, KRU Studios terus menyambar peluang keemasan apabila Joan sudah pun menyanyikan beberapa single ciptaan Edry, sekali gus situasi berkenaan bakal merapatkan lagi perhubungan Adam-Joan. Komen Adam?
“Antara saya dan Joan, kami masih berkawan baik. Namun, macam mana nak bercinta, bertemu pun jarang. Saya dapat tahu Joan sudah merakamkan beberapa single ciptaan Edry. Justeru, apabila sudah bekerja satu bumbung, sekiranya diberi peluang bekerjasama, persahabatan yang sedia terjalin mampu dirapatkan lagi. Tapi, apabila bercakap soal cinta, saya serahkan pada jodoh,” jelas Adam enggan mengulas panjang lebar.
Tak selesa digelar Agnes Monica Malaysia
Sementara itu, populariti Stacy semakin melonjak sehingga dia diberi jolokan Agnes Monica versi Malaysia gara-gara kelincahan tariannya sambil menyanyi secara langsung, itu kelebihan dirinya. Namun, adakah Stacy berasa selesa dengan kedudukannya hari ini?
“Saya rasa bersyukur kerana peminat sudah mengiktiraf kebolehan dan bakat seni saya, tapi kadang-kadang tak selesa juga apabila dilabel Agnes Monica Malaysia, terasa diri ini tiada identiti. Saya lebih berasa bangga apabila orang melihat kelincahan saya di pentas, orang berteriak itu adalah Stacy, Stacy AF6!,” katanya bersungguh-sungguh.
Namun, sebelum bergelar penghibur popular seperti hari ini, Stacy pernah melalui hari gelapnya apabila dia bersama keluarga pernah merasai keperitan hidup apabila kemiskinan mereka menjadi hinaan masyarakat, tapi hari ini semuanya berubah dek populariti yang diraih, Stacy dijulang peminat.
“Dulu kita hidup susah, orang menghina, sekarang dah senang sikit, orang memuja, namun itu adalah lumrah dan fitrah manusia. Bagi saya, jika bukan kerana hinaan dan cacian orang, saya tak akan jadi kuat dan berjaya seperti hari ini. Justeru, saya menjadikan kritikan mereka sebagai pembakar semangat. Saya bekerja keras dalam usaha memberi persaingan yang sengit kepada ramai lagi bakat yang bagus-bagus di luar sana,” katanya lagi.
'Tak mungkin kami jatuh cinta'
Stacy juga mengakui serasi dan selesa bekerja dengan Adam menghasilkan pembikinan Menggegar Dunia. Sekalipun mereka dikatakan pasangan tak sepadan, tak mustahil dia mungkin jatuh cinta dengan Adam yang sama-sama berasal dari Sabah apabila berkongsi budaya dan loghat bahasa yang sama.
“Saya dan Adam tak mungkin jatuh cinta, kami dah kenal lama, dah tahu keperibadian masing-masing, memang susah nak jadi pasangan kekasih! Lagipun saya perlu menghormati perasaan Adam dan Joan yang berkawan baik, tambahan pula saya dan Joan satu sekolah di Sabah dulu, dia juga saya dah kenal lama.
“Justeru, cukup sekadar saya dan Adam bergabung di pentas seni, kami boleh meletup apabila digandingkan, sama-sama suka menyanyi dan menari lincah,” katanya.
Apa pula cerita putus cinta Stacy dengan Nubhan dan sejauh mana kebenaran percintaan yang terjalin antara dirinya dan Akim sejak akhir-akhir ini?
“Saya hairan macam mana orang kata saya putus cinta dengan Nubhan, bercinta pun tak pernah. Begitu juga dengan Akim, kami tak pernah keluar dating, tiba-tiba saja boleh keluar gosip saya dan Akim bercinta! Bagi saya, apa yang berlaku antara saya, Nubhan dan Akim adalah salah faham semata-mata. Apabila kami sering bekerjasama menjayakan persembahan nyanyian, mulalah orang bergosip, antara kami pasangan kekasih,” jelasnya lagi.
Kebenaran gosip Stacy pernah mengundang Akim bertandang ke rumahnya?
“Mengarut! Tak pernah ke situ perhubungan kami,” katanya yang mengakui teringin juga bercinta seperti remaja lain, namun ketika ini masanya belum sesuai.
Katanya lagi, dirinya belum cukup kuat memberi komitmen dalam percintaan. “Kalau bercinta, sekejap saja, nak buat apa? Akhirnya jadi macam lagu saya, Pakai Buang, tak mahulah!,” katanya berseloroh.
INFO: Stacy
* NAMA PENUH: Stracie Angie Anam
* TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1990
* ASAL: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah
* KELUARGA: Anak kelima daripada enam beradik
* ALBUM: Aku Stacy mengandungi lagu seperti Aku Stacy, Gagap, Cerah, Cinta Yang Ku Duga dan Pakai Buang
* SINGLE: Menggegar Dunia (duet bersama Adam AF2) dan Primadona (solo), kedua-duanya adalah lagu runut bunyi filem My Spy
* DUTA: Power Root dan Intimate Sanitary Napkins
* PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 6 (AF6), Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Penyanyi Pop Popular Malaysia 2009 pada Shout Awards terbitan 8TV dan Ikon Belia Remaja Sabahan oleh Ketua Menteri Sabah
INFO: Adam
* NAMA SEBENAR: Mohd Aizam Mat Saman
* TARIKH LAHIR: 19 September 1983
* ASAL: Inanam Laut, Sabah
* KELUARGA: Sulung daripada empat beradik
* ALBUM: Adam, Adam 2 dan Adam 3 (kesemuanya terbitan KRU Studios)
* SINGLE: Menggegar Dunia (duet bersama Stacy AF6) juga lagu runut bunyi filem My Spy
* FILEM: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva dan Dimensi Cinta (belum ditayangkan)
* DRAMA / TELEFILEM: Pria, Akademi dan Hotel (working titles - belum ditayangkan)
* TELEFILEM ARAHAN PERTAMA: Wira Malam: Bisikan Naga
* PENCAPAIAN: Tempat ketiga, Akademi Fantasia 2 (AF2) (2004); Lagu Paling Popular Hits 1 (Joget Lambak, 2007); Pelakon Lelaki Popular pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) berdasarkan undian SMS dan Vokal Duo Terbaik bersama KRU (Terhangat Di Pasaran) pada Anugerah Era 2004/2005